Artikel disediakan oleh: Clly Gulimit

TELUPID – “Mereka yang berharap kepada Tuhan akan berlari dan tidak lesu” (Yesaya 40:31) merupakan tema yang dipilih oleh Sri Paus Fransiskus untuk Hari Belia Sedunia ke-39. Dalam perutusannya, Sri Paus Fransiskus menggalakkan golongan muda melihat kehidupan sebagai satu ziarah, mencari kebahagiaan meskipun melelahkan. Beliau menekankan bahawa keletihan dalam perjuangan hidup adalah perkara biasa, dan penyelesaiannya bukan dengan berhenti, tetapi dengan menjadi “penziarah harapan”.

Justeru, pada 15 Disember 2024, Kerasulan Belia Paroki Telupid telah menganjurkan sambutan Hari Belia Sedunia ke-39 bertempat di Gereja St. Martin, Telupid. Program ini bertujuan untuk memberikan inspirasi kepada para belia untuk memahami dan menghayati mesej harapan Sri Paus Fransiskus, serta memperkukuhkan hubungan mereka dengan Tuhan dan sesama. Aktiviti yang dirancang menggalakkan belia Katolik menjalani kehidupan sebagai penziarah dengan semangat iman, kasih, dan misi.

Para Peserta Hari Belia Sedunia ke-39 Peringkat Paroki St. Martin, Telupid

Program ini disasarkan kepada belia berumur 13 hingga 45 tahun. Seramai 88 orang belia dari seluruh Paroki St. Martin telah menyertai program ini. Program dimulakan dengan sesi pendaftaran, diikuti dengan Pentakhtaan Alkitab, doa pembukaan, dan lagu-lagu pujian dalam slot “Time of Life”.

Sesi pertama iaitu “Lari Menuju Harapan” yang disampaikan oleh Saudari Elsa, bertujuan mendorong belia mengenal pasti cabaran hidup sambil menemui harapan yang berpunca daripada iman kepada Tuhan. Aktiviti melibatkan perkongsian cabaran dalam perjalanan iman, perkongsian dalam kumpulan, dan penghasilan kad visi yang menyatakan harapan mereka.

Seterusnya, sesi “Harapan Seorang Penziarah Kehidupan” yang dikendalikan oleh Saudara Beller mengajak belia untuk memahami bahawa cabaran hidup dapat membawa kepada pertumbuhan rohani dan harapan. Dalam aktiviti ini, para belia bergerak dalam kumpulan dengan mengangkat beban ke beberapa stesen, berhadapan dengan halangan yang mencerminkan cabaran kehidupan sambil merenung soalan “Di mana saya menemui Tuhan dalam masa-masa sukar?”.

Kemudian, aktiviti “RM1.50” memberikan peluang kepada peserta untuk beradaptasi dengan suasana baharu, berkolaborasi, dan berkongsi sukacita. Dalam aktiviti ini, setiap peserta mempunyai nilai tertentu (Lelaki RM1, Perempuan RM0.50) dan perlu membentuk kumpulan berdasarkan jumlah nilai yang diperlukan. Aktiviti ini menekankan kepentingan kerjasama dan empati dalam situasi kehidupan.

Sesi terakhir, “Misi Harapan” disampaikan oleh Saudari Vyellynda menegaskan bahawa harapan bukan hanya untuk diri sendiri tetapi perlu dikongsi dengan orang lain. Peserta menulis doa atau harapan kepada rakan kumpulan dan mengambil masa untuk merenungkan doa-doa yang dikongsi oleh orang lain.

Semua aktiviti yang dijalankan adalah inspirasi daripada perutusan Sri Paus Fransiskus kepada belia, dengan mesej seperti “Ziarah Kehidupan dan Cabarannya”, “Penziarah di Padang Gurun”, “Dari Pelancong kepada Penziarah”, dan “Ziarah Harapan untuk Misi”. Program ini diakhiri dengan sesi bergambar, gotong- royong, dan makan malam bersama, yang menjadi kenangan manis buat semua peserta. Sambutan ini bukan sahaja memperkukuhkan iman belia tetapi juga menjadikan mereka lebih bersemangat dalam menjalani ziarah kehidupan dengan harapan, iman, dan kasih.