Pada 16 Februari 2025 yang lalu, Projek Perintis bagi Caritas Diosis Sandakan dalam mempromosikan makanan sihat dan selamat melalui eko-pertanian telah dilancarkan secara rasmi oleh Rev. Fr. Stephen Esguerra, selaku Paderi Paroki Our Lady of Fatima, Beluran. Projek ini akan dijalankan dalam tempoh percubaan satu tahun di Bukit Garam oleh komuniti St. Anthony, Bukit Garam.
Projek perintis ini merupakan inspirasi dan susulan daripada Bengkel Ekologi Integral yang telah dihadiri oleh salah satu ahli Caritas Diosis Sandakan pada Julai 2024 lalu di Bangkok. Projek ini diharapkan bukan sahaja memberikan makanan yang sihat dan selamat akan tetapi memastikan tanah yang digunakan juga sihat melalui penanaman secara organik.
Di sepanjang projek ini dijalankan, beberapa bengkel dan latihan eko-pertanian akan diberikan untuk memberi ilmu dan cara – cara bertani yang lebih mesra alam tanpa menggunakan bahan – bahan berbentuk racun. Hasil tanaman yang diperolehi kelak adalah untuk komuniti St. Anthony, Bukit Garam dan sekiranya ada tuaian yang lebih boleh dijual kepada umat yang lain agar mereka juga dapat menikmati sayur – sayuran yang selamat untuk di makan.
Saudara Sinoh Kulipang, penolong Pengerusi Caritas Diosis Sandakan dan juga ahli Caritas Paroki Our Lady of Fatima, Beluran merupakan Penyelaras bagi projek ini akan berjalan rapat dengan Pengerusi Eddy Edwin Egi dan komuniti St Anthony, Bukit Garam.
Caritas Diosis Sandakan amat menghargai penglibatan komuniti St Anthony, Bukit Garam dan sokongan dari Rev. Fr. Stephan Esguerra, Paderi Paroki OLOF, Beluran serta Rev. Fr. Simon Kontou, Penasihat Rohani Caritas Diosis Sandakan, dalam projek perintis ini. Setinggi penghargaan juga diberikan kepada seorang umat yang bermurah hati iaitu Puan Marayah Bte Undin kerana sudi meminjamkan satu ekar tanahnya untuk pelaksanaan projek ini.
Semoga projek perintis ini diberkati Tuhan dan berbuah dengan baik agar hasilnya dapat dikongsikan bersama dengan komuniti lain di Diosis Sandakan dengan harapan akan turut serta berminat untuk melaksanakan projek mempromosikan makanan sihat dan selamat melalui eko-pertanian. Mengambil inspirasi dari petikan dari Imamat 25: 23-24 kita diingatkan bahawa tanah itu adalah milik Tuhan, dan manusia hanyalah penjaganya, bermakna kita mesti menjaganya dengan penuh tanggungjawab, termasuk melindungi tanah dan memastikan amalan makanan yang selamat.
”Tanah jangan dijual mutlak, karena Akulah pemilik tanah itu, sedang kamu adalah orang asing dan pendatang bagi-Ku. Di seluruh tanah milikmu haruslah kamu memberi hak menebus tanah.” Imamat 25:23-24