Artikel oleh : Mazdollyna Majalin Eborok
Gambar oleh : Jaymar Pentojo Amarille dan Dominggus Pati Hendrikus
LAHAD DATU: Soccom Paroki St. Dominic, Lahad Datu telah mengadakan rekoleksi khusus kepada para ahli soccom lama dan baru pada 7hb dan 8hb Februari bertempat di Gereja St. Dominic. Rekoleksi ini telah disertai oleh 19 orang ahli soccom termasuk dari outstasi.
Acara tersebut bermula pada 7hb Februari dengan ketibaan ahli-ahli soccom sekitar jam 6pm hingga 7pm. Soccom dari outstasi yang dijemput termasuk ahli dari Pontian Fico, Divine Mercy Sapang, Our Lady of Pillar Silam Camp, KPUK Felda, St. Nicholas Tampenau dan St. Gabriel Tungku. Rekoleksi hari pertama bertempat di Café St. Dominic adalah acara serta makan malam bersama di antara ahli bagi mengeratkan lagi persahabatan Soccom Pusat dan Outstasi.

Sesi “Apakah Harapan”
Hari Kedua program Rekoleksi Soccom 2025 ini disegarkan dengan doa pagi pada jam 7.30am seterusnya para ahli bersarapan di Kantin St. Martha. Program kemudian dilanjutkan di Bilik 3FC 23 St. Padre Pio dan pengerusi majlis iaitu saudari Rozie Reynaldo membuat sedikit Ice breaking sebelum sesi 1 iaitu Pesanan Kekudusan Paus Francis untuk Hari Komunikasi Sosial Sedunia ke-59. Sesi 1 ini diterangkan oleh saudara Farnandes Siprianus, Dimana ianya mengandungi 4 bahagian iaitu komunikasi yang menenangkan (Disarming communication), Mengambil kira dengan lemah lembut untuk harapan yang ada dalam diri kita (Accounting with gentleness for the hope that is in us), berharap Bersama (Hoping together) dan Jangan Lupakan Hati (Do not forget the heart). Sesi ini diadakan berlandaskan pesanan Paus Francis kita, di mana Paus Francis mengingat para umat Katolik agar sentiasa berkongsi dengan lemah lembut yang ada di dalam hati kita (1 Pet 3 : 15-16) di era globalisasi kini. Tidak dilupakan juga, saudara Farnandes turut menerangkan sedikit sebanyak akan peranan Soccom agar terus menyebarkan khabar gembira menurut Yesus Kristus di gereja Katolik.
Bagi sesi 2 iaitu Bengkel asas penulisan artikel diterangkan oleh Saudari Mazdollyna Majalin. Dalam sesi ini, beliau menerangkan bahawa terdapat 4 Pelan Struktur Artikel iaitu tajuk utama, pendahuluan, maklumat perjalanan program atau isi-isi penting dan diakhiri dengan penutup. Artikel yang ditulis hendaklah sah dan penuh inspirasi agar dapat menarik pembaca untuk membaca. Penulis artikel boleh menjadikan 5W + 1H (When, Where, What, Who, Why & How) sebagai panduan dalam melengkapkan artikel mereka. Beliau turut mengingatkan agar menghindari ketidakadilan dengan fokus pada fakta dan perspektif ajaran katolik, gunalah istilah yang tepat, perhatikan etika dan sensitiviti, hormati simbol suci, menjaga privasi dan elak maklumat yang tidak jelas asal usulnya. Selain itu, saudari Mazdollyna juga menyatakan diakhir penulisan, untuk menyemak sekiranya ada kesilapan ejaan dan minta pendapat rakan lain akan penulisan tersebut.

Saudari Mazdollyna Majalin mengongsikan tentang asas penulisan artikel
Bagi sesi 3 iaitu Bengkel asas Fotografi (Basic Photography) oleh Saudara Jaymar Pentojo Amarille turut menyingkapkan tentang tatacara mengambil gambar yang baik dan Teknik yang dapat meningkatkan lagi kualiti gambar yang diambil. Jurufoto hendaklah peka terhadap cahaya persekitaran, bermain dengan aperture kamera dan mencari sudut yang boleh meningkatkan lagi keserian setiap lapangan atau individu. Hal ini penting kerana, setiap gambar yang diambil pada acara gereja dapat menceritakan perkara yang berlaku ketika itu. Gambar-gambar ini juga dapat dijadikan memori bersama terutama umat-umat Katolik.

Saudara Jaymar Pentojo Amarille memberi penerangan tentang asas mengambil gambar
Sesi 4 Rekoleksi kali ini iaitu Bengkel Asas Videografi diterangkan oleh Saudari Monica Ondin Pelang. Saudari Monica mengatakan bahawa videografi juga memainkan peranan yang tidak asing lagi dan salah satu konduktor penyebaran informasi berbentuk visual yang efektif. Hal ini kerana, di alam globalisasi ini, setiap manusia akan cenderung menggunakan internet untuk melihat video dan juga menyebarkan ajaran yang berinspirasi dan menjadi kegunaan para manusia. Seseorang juga boleh menggunakan telefon bimbit atau komputer dalam menghasilkan video. Terdapat beberapa aplikasi terkini dapat membantu pengguna dalam menghasilkan video iaitu capcut, kinemaster dan PowerDirector.

Saudari Monica Ondin Pelang dalam memberi sesinya
Saudara Farnandes dan Jaymar turut mengingatkan para ahli Soccom baru dan lama agar sentiasa mematuhi peraturan khususnya para jurufoto ketika mengambil gambar di dalam Gereja. Etika tersebut ada disediakan di dalam Gereja kita dan soccom perlulah mematuhi dan menghormati etika mengambil gambar di dalam Gereja Katolik. Acara terakhir iaitu sesi permainan dan rekolesi berakhir dengan doa penutup oleh Saudara Farnandes.
Rekoleksi Soccom pada 7 dan 8 februari ini telah selesai dengan jayanya seturut kehendak Tuhan. Harapan Soccom agar pelayanan para ahli akan berterusan dan tidak berhenti dalam menyebarkan cinta kasih Yesus Kristus. Sesuai dengan tema komunikasi sedunia, kongsikan dengan lemah lembut harapan yang ada dalam diri anda, soccom akan lebih bergiat dalam berkongsi harapan soccom iaitu mengongsikan kasih Tuhan kita Yesus Kristus. Amen.