Sandakan – Seramai 27 orang staf daripada Keuskupan dari lima Paroki telah berhimpun di Pusat Retret Keuskupan, Ulu Dusun kira-kira 47 kilometer dari bandar Sandakan bagi menghadiri Rekoleksi Staf Tahunan Keuskupan Sandakan kali ke-5 yang berlangsung dari 30 Ogos hingga 1 September 2025.
Terkini, Keuskupan Sandakan mempunyai satu misi iaitu Kapela St Francis dari Assisi, Misi Paitan, dan lima paroki iaitu Paroki Holy Trinity, Tawau, Paroki St Dominic, Lahad Datu, Paroki Our Lady of Fatima, Beluran, Paroki St Martin, Telupid dan Paroki Katedral St Mary, Sandakan.
Tujuan utama rekoleksi ini adalah untuk memperkukuh semangat kerja dalam pelayanan gereja dan meningkatkan keberkesanan perkhidmatan pastoral kepada umat Allah serta menjadi saluran penting untuk mengeratkan hubungan sesama staf dalam suasana rohani dan kekeluargaan.
Hari pertama dimulakan dengan sesi pendaftaran, diikuti makan tengah hari dan waktu rehat. Aktiviti diteruskan dengan sesi “ice-breaking” yang dikendalikan oleh Puan Anna Teresa, melibatkan permainan dan lagu interaktif yang menceriakan suasana serta mengeratkan hubungan antara peserta.
Puan Anna meneruskan sesi pengenalan dengan aktiviti kreatif “My Pot of Hope”, yang mengajak peserta meluahkan harapan dan cabaran masing-masing sepanjang rekoleksi melalui lukisan yang dilukis sendiri oleh peserta. Perkongsian diteruskan dalam kumpulan kecil bagi memperdalam refleksi dan pemahaman.

Rev. Fr. Stephen Esguerra dalam Misa Kudus pembukaan.
Misa Pembukaan dipimpin oleh Rev, Fr. Stephen Esguerra dari Paroki Beluran. Dalam homilinya, beliau menegaskan bahawa perjamuan Ekaristi merupakan saat menerima Yesus dan suatu ungkapan syukur kepada Tuhan. Beliau menyeru agar setiap staf sentiasa sedar bahawa hidup kita bersatu dengan Tuhan dan sesama, serta menekankan perlunya sikap rendah hati dalam menjalani panggilan hidup.
Hari kedua dimulakan dengan sesi oleh Sr. Susan Dulang dari kongregasi Sisters Of St Francis Of Sarawak (SSFS), bertemakan “Diambil”. Beliau menekankan bahawa setiap individu memerlukan kesetiaan, penuh iman dan hargai satu sama yang lain. Hargai diri sendiri kerana kehadiran kita di dunia adalah hasil pilihan Tuhan, bukan satu kebetulan. “Kita adalah gambaran Yesus,” tegas beliau. Sesi ini diakhiri dengan renungan peribadi.
Pada sebelah petang, sesi diteruskan dengan tema “Diberkati”, di mana Sr. Susan mengajak peserta mengenal pasti serta berkongsi bakat dan anugerah yang dimiliki. Beliau turut mengingatkan agar manusia tidak terjebak dengan kesombongan sehingga melupakan sumber segala talenta, iaitu Tuhan Yesus sendiri.
Sesi terakhir hari kedua bertemakan “Dipecahkan”, dimulakan dengan kisah seorang paderi yang mengalami trauma hingga enggan merayakan misa. Sr. Susan menyeru agar peserta tidak melarikan diri daripada cabaran hidup. “Kita adalah orang yang dipanggil untuk menyembuhkan orang lain. Jangan putus asa walaupun doa belum termakbul. Tetaplah setia dalam doa,” katanya. Beliau menekankan bahawa kita semua dipanggil menjadi ‘doktor of the soul’ bagi jiwa-jiwa yang menderita secara rohani.

Saat teduh hari kedua dipimpin oleh Rev. Fr. Dafrinn Diwol
Hari terakhir rekoleksi dimulakan dengan doa pagi, disusuli sarapan pagi. Sesi penutup oleh Sr. Susan bertemakan “Dikongsikan”. Dalam perkongsian tersebut, beliau menegaskan bahawa misi pelayanan bukanlah mudah, namun dengan berkat Tuhan segalanya mungkin. “Kita perlu berdoa setiap hari dan melakukan pengakuan dosa sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali setahun. Kurangnya doa akan menyukarkan langkah kita ke hadapan. Kita dipanggil untuk menjadi ‘Duta Kasih’ kepada umat yang memerlukan bimbingan rohani, dan keluar daripada zon selesa,” ujar beliau.
Selepas sesi tersebut, peserta diberi ruang untuk menyuarakan kesan yang dialami sepanjang rekoleksi. Ramai yang meluahkan rasa syukur kerana berpeluang berhenti sejenak daripada rutin harian, merenung kembali panggilan pelayanan, serta memperbaharui semangat dalam tugas pastoral.
Rekoleksi diakhiri dengan Misa Penutup yang dipimpin oleh Rev. Fr. Dafrinn Diwol. Selesai misa, sesi bergambar kenangan diadakan sebelum para peserta bersurai dan kembali ke paroki masing-masing dengan hati penuh syukur.
Rekoleksi Staf Keuskupan Sandakan kali ke-5 ini bukan sahaja memperkukuh semangat persaudaraan, tetapi juga memperteguh identiti setiap staf sebagai pelayan Tuhan yang diutus. Dengan semangat yang diperbaharui, mereka kembali ke paroki masing-masing untuk meneruskan pelayanan dengan sukacita, rendah hati, dan penuh harapan.