Artikel oleh : Mazdollyna Majalin Eborok
Foto oleh : Soccom Lahad Datu

Lahad Datu: Pesta Kaamatan atau Hari Menuai merupakan perayaan penting bagi masyarakat Bumiputera di Sabah khususnya KDMR. Perayaan ini tidak hanya menjadi tradisi budaya tetapi juga dirayakan dalam konteks keagamaan, termasuk di Gereja Katolik. Perayaan Pesta Kaamatan yang diadakan di gereja St. Dominic diisi dengan nuansa kebudayaan yang kental, sekaligus memperdalam makna syukur atas berkat Tuhan. Perayaan ini telah diadakan pada 15 dan 16 Jun 2025.

Dalam ucapan Rev Father Stanley William Matakim turut mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama dari pihak penganjur dan juga semua umat katolik termasuk stasi luar yang bertungkus lumus dalam menjayakan program Pesta Kaamatan dan Gawai Peringkat St. Dominic bagi tahun 2025. Harapan Gereja, agar lebih banyak lagi umat bersama-sama merayakan pesta sebegini di tahun akan datang tidak kisah perayaan dari suku kaum berlainan kerana ini adalah lambang kesatuan gereja kita.

Pelbagai inisiatif para umat terutamanya pihak penganjur dalam menjayakan pesta ini, termasuklah

  1. Sukan tradisi (Mipulos, momolositik, monopuk, batu simban, teka tuntul/birid & meniup belon),
  2. Gerai jualan makanan dan minuman,
  3. Pertandingan makanan dan minuman tradisi,
  4. Pertandingan Unduk Ngadau & Mr Kaamatan St Dominic
  5. Sugandoi Terbuka
  6. Persembahan kebudayaan.

Pesta Kaamatan di Gereja St. Dominic menjadi bukti bahawa iman Katolik dapat hidup berdampingan dengan budaya tempatan. Gereja menghargai warisan leluhur sambil menekankan pentingnya bersyukur kepada Tuhan sebagai sumber segala berkat.

Melalui perayaan ini, umat Katolik di Sabah tidak hanya melestarikan adat istiadat, tetapi juga memperkuat iman mereka dalam kebersamaan dan sukacita.

Pesta Kaamatan mengingatkan kita bahawa segala berkat berasal dari Tuhan. Mari terus bersyukur dan merayakan anugerah-Nya dalam kebudayaan kita.

“Setiap pemberian yang baik dan setiap anugerah yang sempurna datangnya dari atas, diturunkan dari Bapa segala terang; pada-Nya tidak ada perubahan atau bayangan karena pertukaran.”  Yakobus 1:171