Artikel disediakan oleh: Genevieve Jimis & Angela Jika
Gambar: Jimis Peter
TONGOD – Misi pastoral Paroki telah berlangsung selama tiga hari di beberapa kawasan dalam daerah Tongod, melibatkan penyertaan paderi paroki, kakitangan pejabat gereja, wakil Komiti Kateketikal dan Komiti Katekis. Misi ini bertujuan untuk menjangkau umat Katolik yang berada jauh dari pusat paroki, khususnya mereka yang tinggal di lokasi yang sukar diakses, bagi menyemarakkan kehidupan iman dan mendekatkan mereka dengan pelayanan sakramental Gereja.

Bersama Umat St. Benedik, Tongod
Sepanjang misi ini, Misa Kudus dirayakan dan disusuli dengan upacara Pembaptisan Bayi dan Kanak-kanak sebagai tanda penyertaan mereka dalam Sakramen Inisiasi Kristian. Seramai 38 bayi dan kanak-kanak telah menerima Sakramen Pembaptisan di St. Benedik, Tongod pada 17 Jun, diikuti oleh 19 orang lagi di St. Michael, Genting Estate pada 18 Jun dan 8 orang di Ladang SLDB Agropolitan Lalampas pada 20 Jun. Secara keseluruhan, seramai 65 orang telah dibaptis, suatu rahmat besar yang mencerminkan kesuburan iman dalam kalangan umat di kawasan yang jauh dari pusat paroki.

Bersama Umat St. Michael, Genting Estate
Rev. Fr. Christopher dalam homilinya menekankan akan pentingnya hidup dalam kasih dan pengharapan Kristiani, serta menyeru umat agar terus berpegang teguh kepada iman walau berada jauh dari pusat pelayanan Gereja. Beliau juga menekankan bahawa tanggungjawab untuk memelihara dan menumbuhkan iman bermula daripada keluarga. Ibu bapa perlu menjadi katekis pertama bagi anak-anak mereka, memperkenalkan Yesus Kristus sejak awal usia dan membimbing mereka dalam kehidupan rohani seharian.

Upacara Pembaptisan Kanak-kanak
Fr. Christopher turut mengajak komuniti setempat agar terus bersatu dalam iman dan kasih, serta bekerjasama membina komuniti Kristian yang hidup dan bertumbuh sebagai tubuh mistik Kristus. Beliau menekankan bahawa kehadiran Gereja di kawasan luar bandar harus disokong secara berterusan agar umat tidak terpinggir dalam pelayanan rohani dan sakramental.

Misa Kudus di Ladang SLDB Agropolitan Lalampas

Pasukan yang Membantu dalam Misi Menjangkau Umat
Setiap lawatan misi pastoral diakhiri dengan jamuan kasih dan sesi bergambar bersama umat sebagai tanda kesyukuran dan perayaan komuniti. Umat menyambut baik kehadiran rombongan pastoral ini dan meluahkan harapan agar lebih banyak kunjungan sedemikian dapat diadakan pada masa akan datang demi memperkukuh iman dan semangat komuniti Katolik di kawasan yang jauh dari pusat paroki.