3 Ogos 2025 – Misi Paitan buat pertama kalinya mengadakan Hari Minggu Kateketikal yang bertempat di St. Francis Of Assisi, Kg. Sukang. Program ini membawa tema “Kita dapat menjadikan dunia tempat yang lebih baik” (Fil-2:4). Tema ini mengingatkan kita untuk tidak hanya mementingkan diri sendiri, tetapi turut memikirkan kepentingan dan kesejahteraan orang lain.
Dalam homili, Rev. Fr. Arthur menegaskan bahawa kekayaan duniawi bukanlah ukuran sebenar kebahagiaan. Beliau mengajak umat agar terus melakukan kebaikan dan menjadi saluran kasih Tuhan dalam kehidupan harian.

Aktiviti mewarna
Terdapat tiga aktiviti utama telah dijalankan yang melibatkan pelajar PMG dan IKD di seluruh Misi Paitan. Salah satunya, ialah aktiviti mewarna PMG berumur 7 hingga 12 tahun. Aktiviti mewarna ini dijalankan mengikut tiga kategori umur, iaitu 7-8 tahun, 9-10 tahun dan 11-12 tahun. Kesemua pelajar PMG yang menyertai mendapat saguhati, manakala hasil mewarna tiga terbaik dipilih daripada setiap kategori umur untuk diberikan hadiah.

Aktiviti perkongsian rohani berdasarkan tema.
Seterusnya, ialah aktiviti perkongsian rohani bertulis berdasarkan tema yang melibatkan pelajar IKD dan PMG berumur 13 tahun ke atas. Setiap pelajar yang terlibat diberikan kertas untuk merenungkan Firman Filipi 2:4 serta tema, kemudian menulis perkongsian mereka berdasarkan soalan renungan, “Bagaimanakah saya dapat menjadikan dunia tempat yang lebih baik dari aspek diri, keluarga, komuniti dan alam sekitar?”. Setelah itu, mereka membuat perkongsian di hadapan umat.

Pembentangan Kraftangan daripada bahan terbuang
Aktiviti ketiga yang dijalankan, ialah pertandingan kraftangan menggunakan bahan kitar semula untuk menghasilkan karya kreatif yang membawa mesej penjagaan alam sekitar dan tanggungjawab sosial. Terdapat 7 kapela yang telah menyertai kraftangan ini. Antara kraftangan yang telah dihasilkan, ialah
- Tong sampah kitar semula yang dibina daripada kotak terbuang. (St Francis of Asisi, Kg. Sukang)
- Tong sampah besar yang dibina daripada botol plastik terbuang. (St. Yohanes Pembaptis, Kg. Penubukan)
- Replika Gereja yang dibina daripada kotak, dan bahan-bahan terbuang. (St Petrus, Kg. Tawanan)
- Tikar dan beg tangan yang dibina daripada plastik terbuang. (St Simon, Kg. Timpus)
- Pasu yang dibuat daripada kertas terbuang. (St. Clare, Kg. Dalamas)
- Pasu bunga yang dibina daripada botol plastik dan bahan plastik terbuang ( St Peter, Kg. Tigawi)
- 3 pasu yang dibina daripada botol plastik terbuang dan reben terpakai. (St. Bonda Maria, Kg. Tangkarason)
Program ini mendapat sambutan yang amat baik daripada umat Misi Paitan. Semangat kerjasama, kreativiti, dan penglibatan aktif jelas terpancar dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Semoga nilai-nilai yang telah dipupuk sepanjang program ini akan terus subur dalam kehidupan harian umat seterusnya memperkukuhkan iman dan komuniti Kristian di Misi Paitan.