Lahad Datu, 21 Mac 2026 – Perhimpunan Pastoral Paroki Gereja St. Dominic, Lahad Datu yang berlandaskan inspirasi daripada dokumen ensiklik Fratelli Tutti telah berlangsung dengan penuh pelayanan dan semangat persaudaraan Kristiani. Seramai 250 orang telah menghadiri program ini dengan 199 peserta terdiri daripada wakil-wakil KKD, KPUK serta stasi luar di bawah naungan Gereja Paroki St. Dominic. Sementara itu, seramai 51 orang AJP yang merangkumi MPP dan Komiti MPC telah memikul amanah pelayanan dalam mengatur serta mengendalikan keseluruhan perjalanan program dengan penuh komitmen.
Perhimpunan dimulakan seawal jam 7.30 pagi di Dewan Gereja St. Dominic dengan pendaftaran peserta, kata-kata aluan, serta doa pembukaan yang dipimpin oleh Rektor Paroki, Rev. Fr. Stanley W. Matakim. Seterusnya, Pengerusi MPP, Encik Willie Binati memperkenalkan Visi dan Misi MPC, menekankan bahawa program ini bertujuan memperdalam pemahaman umat terhadap ajaran Paus Fransiskus, sebagai langkah persediaan rohani yang luas dengan bimbingan Tuhan.

Sepanjang hari, peserta disegarkan dengan aktiviti “ice-breaking”, pembentangan Bab 1 hingga Bab 8 dokumen Fratelli Tutti, tiga pusingan perbualan rohani, mini aktiviti, serta laporan kumpulan besar. Suasana penuh semangat kekal hingga jam 5.30 petang.
Pada jam 6.00 petang, Misa Kudus Senja dirayakan dengan penuh syukur dipimpin oleh Rev. Fr. Stanley W. Matakim. Selepas Misa, sesi bergambar beramai-ramai diadakan di dalam gereja, diikuti dengan jamuan makan malam yang mempereratkan ikatan persaudaraan antara umat.

Sebelum program berakhir, beberapa wakil kumpulan telah berkongsi pengalaman dan pandangan mereka mengenai Perhimpunan Pastoral Paroki. Rata-rata peserta meluahkan rasa syukur kerana diberi kesempatan menghadiri perhimpunan yang penuh berkat ini. Mereka menyatakan bahawa program tersebut sangat berharga kerana bukan sahaja memberi pengajaran tentang kehidupan dan pelayanan gereja, tetapi juga menyentuh hati dengan kehadiran Tuhan yang nyata di tengah perbincangan.


Peserta menekankan bahawa perjalanan program berjalan dengan baik, penganjuran yang teratur, aktiviti yang dijalankan memberi makna, dan suasana penuh dengan semangat kebersamaan. Walaupun ada cabaran seperti ketua KKD yang tidak hadir dan perjalanan yang memenatkan, mereka tetap melihat bahawa Tuhan bekerja di antara mereka, menguatkan iman demi mencapai kedamaian dan solidariti.

Ucapan terima kasih turut disampaikan kepada pihak penganjur serta Rev. Fr. Stanley W. Matakim atas usaha gigih mereka menganjurkan program ini. Keseluruhannya, perhimpunan ini menjadi pengalaman yang penuh syukur, memperkukuh iman, dan mengingatkan umat bahawa melalui doa, perkongsian, dan pelayanan, kasih Tuhan sentiasa hadir dan bekerja dalam komuniti.

Perhimpunan ini diakhiri dengan ucapan ringkas oleh Rev. Fr. Stanley W. Matakim, disusuli dengan doa penutup yang merangkumi seluruh program ini kepada Tuhan, sebagai tanda syukur atas rahmat dan berkat-Nya.
