SANDAKAN — Seramai 62 pemimpin belia dari seluruh Keuskupan Sandakan berkumpul di Gereja Katedral St. Mary, Sandakan untuk mengikuti Youth Leaders’ Camp (YLC) ke-9, yang berlangsung dari 28 hingga 31 Ogos 2026.

Mengangkat tema “Berakar, Diperbaharui, Diutus” berdasarkan Kolose 2:6-7, YLC9 menjadi wadah pembentukan para pemimpin belia untuk memperdalam iman, memperbaharui semangat pelayanan dan mempersiapkan diri untuk diutus melayani Gereja di paroki dan misi masing-masing.

YLC9 dimulakan dengan Perayaan Misa Kudus yang dipimpin oleh Rev. Fr. Dafrinn Diwol pada 28 Ogos. Dalam homilinya, beliau mengalu-alukan para pemimpin belia dari setiap paroki dan misi serta mengajak mereka mempersiapkan hati untuk mengikuti seluruh sesi dan aktiviti sepanjang empat hari tersebut. Berlandaskan seruan Injil, “Berjaga-jagalah sebab Kerajaan Allah sudah dekat,” Fr. Dafrinn mengajak para peserta bertanya kepada diri sendiri sama ada mereka benar-benar bersedia menerima segala pembentukan yang akan diberikan sepanjang YLC9. Beliau turut mengajak para pemimpin belia meneladani Santo Agustinus, yang mengalami pertobatan melalui perjalanan hidup dan doa ibunya, Santa Monika, sehingga akhirnya menjadi seorang pengikut Kristus yang setia. Fr. Dafrinn mengingatkan para peserta agar tidak “tertidur” secara rohani sehingga gagal mengenali dan menerima berkat Tuhan dalam kehidupan serta pelayanan mereka.

Sesi pertama, “Peranan Saya dalam Misi Gereja”, disampaikan oleh Rev. Fr. Ricki Boy Hasim. Berpandukan Matius 28:19, beliau menegaskan bahawa setiap orang yang telah dibaptis dipanggil untuk mengambil bahagian dalam misi pewartaan Injil. Para peserta dibawa mengenali empat bidang pelayanan Gereja, iaitu Liturgia, Koinonia, Diakonia dan Martiria, serta diajak merenungkan satu persoalan yang penting dalam kehidupan seorang pelayan: “Mengapa kita masih mahu melayani walaupun pernah mengalami kesakitan dalam Gereja?”. Fr. Ricki mengingatkan bahawa Gereja yang sempurna bukanlah Gereja yang tidak mempunyai kelemahan, tetapi Gereja yang tidak pernah berhenti berusaha untuk menjadi kudus.

Hari kedua membawa tema “Berakar”, dengan sesi “Memimpin dengan Hati Seorang Pelayan: Kepimpinan Yesus” yang disampaikan oleh Saudara Martinus Simon, ahli DYA. Beliau berkongsi pengalaman peribadinya dalam usaha menjadi pemimpin yang baik berdasarkan teladan Yesus. Beliau menegaskan bahawa pengalaman dalam pelayanan seharusnya membawa seseorang untuk terus memperbaiki diri dan mempererat hubungan peribadi dengan Tuhan. Beliau juga mengongsikan 12 nilai kepimpinan Yesus sebagai pedoman para pemimpin belia, iaitu kasih, iman, kerendahan hati, kesabaran, keberanian menegur, pengampunan, kerjasama, tanggungjawab, kemurahan hati, ketabahan, kesyukuran dan sukacita. Beliau kemudiannya mengajak para peserta merenung: “Adakah saya melayani kerana mencari kasih dan sukacita, atau adakah kasih dan sukacita itu yang mendorong saya untuk terus melayani?”

Para peserta kemudiannya menyertai aktiviti “Membimbing Orang Buta” dan “Puzzle” yang dikendalikan oleh Sr. Noemi. Aktiviti pertama membantu mereka memahami empat sikap penting seorang pendamping melalui akronim HATI — Hadir, Ambil berat, Terbuka dan Iman yang hidup. Manakala aktiviti Puzzle pula menekankan kepentingan komunikasi dan kerjasama, bukan sahaja dalam kumpulan sendiri tetapi juga antara komiti-komiti pelayanan di paroki, khususnya dalam menghadapi dan menyelesaikan pelbagai cabaran.

Hari ketiga bertemakan “Diperbaharui”, dengan sesi “Burnout dalam Pelayanan” yang disampaikan oleh Saudara Iven Estrada Gabriel, ahli DYA. Beliau menekankan bahawa keseimbangan antara pelayanan, komitmen terhadap panggilan hidup dan kehidupan peribadi amat penting bagi seorang pemimpin. Beliau memperkenalkan empat langkah untuk menghadapi kelelahan dalam pelayanan: “Stop Awhile, Rest, Reflect and Reconnect”. Beliau juga menggunakan gambaran sebuah kenderaan yang berjalan jauh, bagi menjelaskan bahawa seorang pemimpin juga perlu berhenti setelah menempuh perjalanan yang panjang, merehatkan “enjin” dan mengisi semula “bahan api” sebelum meneruskan perjalanan.

Para peserta kemudiannya menyertai aktiviti “Membina Satu Tubuh, Bukan Sekadar Kumpulan” yang dikendalikan oleh Fr. Dafrinn. Setiap kumpulan diberikan nama tokoh Alkitab untuk dibaca dan didalami kisah hidupnya. Aktiviti tersebut bukan sahaja membantu peserta mendalami Kitab Suci, tetapi juga membina kemahiran perbincangan, kerjasama dan kepimpinan. Hasilnya dipersembahkan dalam “Leaders’ Night” melalui persembahan kreatif setiap kumpulan.
“Diutus”: Membawa YLC ke Paroki

Hari keempat membawa tema “Diutus”, dengan fokus kepada perancangan program dan takwim tahunan pelayanan belia di paroki masing-masing. Dalam sesi yang disampaikan oleh Sr. Noemi, para peserta ditekankan bahawa setiap perancangan pastoral perlu bermula dengan pemahaman terhadap realiti dan keperluan golongan belia. Para pemimpin juga diajak menetapkan visi dan matlamat yang jelas serta selaras dengan misi Gereja dan arah pastoral Keuskupan. Dalam merancang program sepanjang tahun, para peserta turut diingatkan untuk memberi perhatian kepada empat dimensi pastoral, iaitu Kerygma, Koinonia, Diakonia dan Liturgia/Doa, supaya setiap aktiviti bukan sekadar memenuhi takwim, tetapi benar-benar membantu belia bertumbuh dalam iman dan kehidupan menggereja.
“YLC Sebenar Bermula Apabila Kita Keluar dari Katedral”

YLC9 ditutup dengan Perayaan Misa Kudus yang disempurnakan oleh Yang Mulia Bapa Uskup Datuk Julius Dusin Gitom. Dalam amanatnya, Bapa Uskup mengingatkan para peserta bahawa walaupun YLC9 berakhir pada hari tersebut, “YLC sebenar hanya akan bermula apabila kita melangkah keluar dari Katedral ini.” Menurut beliau, YLC9 merupakan sebahagian daripada persiapan para pemimpin belia untuk menjadi tuan rumah dalam penganjuran Sabah Youth Day ke-7 (SYD7).

Bapa Uskup turut menegaskan bahawa golongan belia mempunyai peranan penting dalam kehidupan Gereja. “Belia adalah harapan masa depan Gereja, tetapi sekarang, kita jangan tunggu sehingga masa depan. Kita adalah harapan Gereja masa sekarang.”

Pesanan tersebut menjadi satu perutusan kepada para peserta untuk tidak membawa pulang pengalaman YLC9 sebagai kenangan semata-mata, tetapi menerjemahkannya dalam kehidupan dan pelayanan di paroki serta misi masing-masing. YLC9 berakhir dengan satu panggilan yang jelas: berakar dalam Kristus, diperbaharui dalam iman dan pelayanan, serta diutus menjadi saksi dan harapan Gereja pada masa kini.

Aktiviti membimbing orang buta.

Aktiviti “Puzzle”

Perbualan Rohani

 

PERKONGSIAN PESERTA YLC9

Shallom, saya Chris Aven. T Daniel, belia dari paroki Our Lady of Fatima, Beluran. Ini perkongsian dari saya sebagai peserta YLC 9.

Perasaan saya!
Saya gembira dan bersyukur kerana telah membuat keputusan untuk menyertai YLC 9. Pada awalnya memang terdapat keraguan dalam diri untuk mengikuti YLC 9 kerana belum ada tempoh tetap bila saya perlu mendaftar di kolej. Selain itu, kewangan juga menjadi punca keraguan tersebut kerana saya sedar saya perlu lebih berjimat cermat untuk membeli keperluan di kolej. Tetapi dengan rasa syukur saya tetap diberikan peluang untuk sertai program ini dan berjumpa dengan ramai bakal pemimpin yang hebat untuk berkongsi pendapat dan pengalaman berkaitan paroki masing2.

Apa yang saya pelajari dalam YLC9 ini?
Saya belajar mengenal realiti pelayanan dan realiti belia di paroki masing-masing. Setelah mengikuti setiap sesi, minda saya lebih terbuka luas dalam melihat realiti pelayanan belia. Sebagai contoh, belia yang melayani dengan sebab terpaksa atau sungguh-sungguh ingin memuliakan Tuhan. Secara jujurnya saya merupakan belia yang melayani kerana terpaksa😅, mindset saya ialah “kalau saya tidak buat jadi siapa lagi mau buat?”, maka saya sendiri tidak melakukan pelayanan tersebut kerana saya ingin benar-benar memuliakan Tuhan. Seterusnya perkara yang saya pelajari adalah realiti para belia dari paroki lain. Saya sedar masalah yang ada di paroki saya tidak sebanding dengan yang ada di paroki atau di gereja lain. Namun, apabila saya dengar reality belia dari paroki mereka saya sedar  walaupun mereka menanggung bebanan seperti itu mereka tetap berusaha untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan menyertai YLC. Hal ini tentunya membakar semangat saya untuk lebih berusaha dalam melayani di paroki saya sendiri.

Harapan saya.
Harapan saya, semoga program YLC terus dikekalkan bagi belia-belia muda. Dari sudut pandang yang berbeza, tentunya kita melihat bahawa YLC ini tempat untuk mencari rakan baru, meluangkan masa bersama rakan atau ikut untuk hilangkan rasa bosan sahaja. Tetapi jika kita benar-benar datang dengan tujuan yang jelas dan membawa harapan sebagai pemimpin, kita dapat melihat bahawa program ini mampu membantu dan mengubah pola fikir belia yang melayani. Pada awalnya saya sendiri melayani untuk suka-suka sahaja, sebab saya rasa jika ada pelayanan, ia akan membuat saya rasa hebat di gereja. Namun cara pandang saya terhadap pelayanan berubah setelah mengikuti YLC, saya menyedari bahawa pelayanan bukan sekadar untuk suka-suka sahaja tetapi setiap pelayanan seharusnya memberi impak kepada orang di sekitar saya untuk turut mengambil peluang dalam melayani di ladang Tuhan. Tentunya kita tidak akan selama-lamanya menjadi seorang belia, jadi habiskan dan luangkanlah masa yang masih ada ini untuk melayani bersama☺️.

Akhir sekali, saya ingin berterima kasih kepada Fr Dafrinn,Sr Noemi, MOT dan LOT, khususnya saudara Martinus, kerana telah berusaha menjayakan program ini. Terima kasih atas penat lelah yang telah dicurahkan untuk program ini. Tanpa kamu, kami para belia tidak mungkin mendapat peluang seperti ini. Oleh itu saya sangat bersyukur kerana telah melihat orang-orang hebat seperti kamu semua. Semoga tuhan memberkati kita semua☺️✝️

Chris Aven. T Daniel
Paroki Our Lady of Fatima

Shalom semua
Sejujurnya, perasaan pertama saya ialah takut dan gelisah. YLC9 merupakan YLC pertama yang saya sertai bagi aktiviti luar di bawah anjuran Kerasulan Belia, dan pada masa yang sama saya juga baru sahaja dilantik sebagai pemimpin belia di tempat saya pada April tahun ini. Jadi, saya selalu tertanya-tanya, “Layakkah saya menjadi pemimpin belia? Cukupkah pengetahuan saya? Bolehkah saya memdampingi belia di tempat saya?”

Sejujurnya, saya juga seorang yang agak pemalu dan tidak begitu selesa untuk bersosial atau bergaul dengan orang baru. Saya lebih suka berada di rumah, pergi gereja, melayani dan balik rumah 😅. Jadi, keputusan untuk mengikuti YLC9 sebenarnya satu perkara yang agak sukar bagi saya. Tambahan pula, saya memang tidak begitu selesa berjauhan dari rumah dan saya bukanlah orang yang suka ‘camping’ atau tinggal di tempat lain.

Tetapi apabila Kak Nofie (PYA) menghubungi saya untuk pendaftaran YLC9, saya terus mengatakan “iya”. Dalam hati saya, saya merasa mungkin inilah masa untuk saya belajar dengan lebih mendalam tentang belia, kepimpinan dan pelayanan. Saya berharap dapat belajar daripada pemimpin-pemimpin belia yang lain, terutama mereka yang lebih senior dan berpengalaman.

Dan ternyata, sepanjang YLC9, ketakutan saya perlahan-lahan hilang. Saya sangat bersyukur kerana dipertemukan dengan para penganjur, para sister dan Father yang sangat baik. Saya merasa diterima dan tidak mendapat tekanan untuk menjadi seseorang yang bukan diri saya.

Saya juga dapat melakukan perkara yang sebelum ini saya takut untuk lakukan. Saya belajar berkomunikasi dengan orang baharu, berani tampil di hadapan orang ramai, malah berlakon di atas pentas, itu sesuatu yang bagi saya memang mencabar kerana saya seorang yang mudah malu.

Jadi, daripada datang dengan rasa takut, saya akhirnya pulang dengan rasa sangat ‘happy’, bersyukur dan terharu.

Paling menyentuh hati saya ialah ketika mendengar perutusan Bishop Julius Dusin Gitom semasa misa kudus sempena penutupan YLC9. Saya sendiri tidak menyangka saya akan menjadi pemimpin belia di tempat saya, apatah lagi menyertai YLC9 dan mendapat peluang untuk belajar bersama para pemimpin belia yang lain sehingga saya menitiskan air mata kerana saya rasa semua ini bukanlah kebetulan.

Saya percaya Tuhan yang menyusun semuanya. Mengapa saya tiba-tiba dipanggil untuk menggantikan pemimpin yang terdahulu? Mengapa pada tahun yang sama saya juga dipanggil untuk mengikuti YLC9? Bagi saya, inilah jalan yang Tuhan sediakan agar saya bukan sahaja berkembang sebagai seorang belia, tetapi juga dapat membantu dan melayani belia-belia di tempat saya.

Apa yang saya pelajari?
Saya belajar bahawa menjadi pemimpin bukan bermaksud kita sudah tahu semuanya. Kadang-kadang kita dipanggil terlebih dahulu, kemudian Tuhan akan mengajar kita sepanjang perjalanan.

Saya juga belajar bahawa saya bukan seorang sahaja yang menghadapi cabaran dalam pelayanan. Sebagai seorang yang bekerja sepenuh masa (Isnin-Sabtu full day), sambung belajar secara part-time dan pada masa yang sama menguruskan banyak perkara dalam pelayanan belia, ada masa saya rasa penat dan terbeban. Tetapi sepanjang YLC9, saya sedar bahawa ramai juga pemimpin belia yang melalui cabaran mereka sendiri dan masih memilih untuk bertahan dan meneruskan pelayanan.

Saya belajar bahawa pelayanan bukan sekadar tugas atau perkhidmatan, tetapi satu panggilan. Kita melayani bukan kerana semuanya mudah, bukan kerana semua orang akan sentiasa membantu kita, tetapi kerana kita percaya ada sesuatu yang lebih besar daripada diri kita yang sedang kita perjuangkan.

YLC9 juga membuka mata, minda dan hati saya. Saya belajar untuk lebih berani berkomunikasi, bekerjasama, mendengar, menerima orang lain dan keluar daripada zon selesa. Paling penting, saya belajar untuk tidak terlalu mempersoalkan sama ada saya layak atau tidak, tetapi belajar untuk percaya bahawa jika Tuhan yang memanggil, Tuhan juga akan memperlengkapkan.

Harapan saya, semoga YLC seperti ini terus diadakan dan tidak terhenti, kerana bagi saya, YLC9 sangat bermakna, terutama kepada pemimpin-pemimpin belia yang baru seperti saya. Saya sendiri sangat berharap dapat menyertai YLC yang seterusnya. 🥹 Saya mahu terus belajar, bertumbuh dan mengenali lebih ramai pemimpin belia supaya kita boleh saling menguatkan dalam pelayanan. Dan saya berharap selepas YLC9 ini, apa yang kita belajar tidak hanya tinggal sebagai kenangan di dalam ‘camp’, tetapi benar-benar kita bawa pulang ke tempat pelayanan masing-masing. Bagi saya, YLC9 mungkin sudah melabuhkan tirainya, tetapi bagi saya, di situlah sebenarnya satu perjalanan baharu sebagai pemimpin belia bermula. Saya datang dengan ketakutan, tetapi saya pulang dengan keberanian, harapan dan hati yang lebih terbuka untuk melayani. Dan saya percaya, ini semua adalah rancangan Tuhan.

 Tracie,
St. Dominic Lahad Datu.