Tawau : Pada hari ke-4, 26hb November, peserta dihiburkan oleh Rev. Fr. Johnny Raju dalam penyampaian sesinya bertajuk ‘Komitmen’ dengan begitu santai sekali. Corak penyampaiannya membuat peserta mudah memahami apa itu komitmen dan menyedari komitmen masing-masing dengan jelas.
“Komitmen dalam gereja adalah bersifat rohani dan itu merupakan satu rahmat daripada Tuhan,” kata Fr. Johnny sewaktu menyampaikan sesinya. Peserta juga digesa untuk berdoa selalu supaya hubungan dengan Tuhan semakin rapat dan erat. Sehubungan dengan itu, apa juga komitmen yang dilakukan akan mendapat rahmat dari Tuhan serta selalu hendak mempercayai diri sendiri kerana Tuhan selalu ada bersama membantu setiap jalan yang dipilih.

Beliau juga menyarankan kepada para peserta untuk merujuk dan membaca YouCat Katekismus Popular. Semasa homilinya juga, beliau menyimpulkan tema KRB yang merupakan sebahagian daripada Ekaristi, seperti petikan 1 KOR 11:23-25 Kristus telah menciptakan Ekaristi.
Tuhan akan memberikan hidup melalui komuni dan sehendaknya berterima kasih kepada Allah kerana sewaktu komuni, Tubuh Kristus yang kita terima adalah tubuh yang bangkit dan ia mengandungi diri Yesus Kristus yang sebenar. “Jadikan Yesus sebagai teladan – Love, Serve, Suffer, Sacrifice, Sanctify and Safe”, kata Msgr. Nicholas kepada semua yang menghadiri misa penutup.
Semua RB juga dapat menjalin persahabatan melalui aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan di sepanjang kem ini. Program KRB ini diakhiri dengan gotong-royong membersihkan seluruh kawasan yang telah digunakan semasa KRB.



