Lahad Datu : Yang Mulia Bapa Uskup Julius Gitom, Rev Fr Simon Kontou dan Rev Fr Marcelinus Pongking bersama-sama telah merayakan misa penerimaan Sakramen Penguatan bagi 130 calon penguatan pada 8hb November 2015. Misa yang bermula 11.00 pagi itu telah dihadiri lebih kurang 600 umat termasuk keluarga dan rakan-rakan para calon.
Bapa Uskup Julius dalam khotbahnya mengingatkan semua umat bahawa hubungan intim kita dengan Tuhan membolehkan kita menyertai dalam visi dan misi Kristus. Hubungan yang rapat bersama Dia akan menghasilkan hati yang tulus dan ikhlas, sentiasa bermurah hati dalam menyertai misi penginjilan Kristus. Dalam pelayanan kita memperluaskan Kerajaan Allah, hendaklah kita bersiap sedia untuk mengongsikan harta benda, masa serta talenta kita.
Merujuk kepada projek pembinaan Dewan Ibadat Paroki St Dominic, Prelatus itu berkata, “Itulah satu rahmat yang kita terima dari Tuhan sendiri apabila kita bersatu hati berpusatkan kepada Tuhan dalam merealisasikan impian kita bersama.” Tiada yang mustahil sekiranya kita serahkan segalanya kepada Tuhan Allah yang Mahakuasa.
Akhir kata, Bapa Uskup Julius mengingatkan para calon bahawa Sakramen Penguatan bukanlah penghujung perjalanan iman tetapi ia merupakan detik permulaan untuk mendalami dan mematangkan iman kita.

