Oleh Roland Henry
TAWAU : (10 Mac 2013) ‘We are the Church’ ~ begitulah tema Youth Monthly Gathering (YMG) ke-19 pada bulan Mac ini. YMG merupakan aktiviti bulanan anjuran Tim Kerasulan Belia Paroki Holy Trinity Tawau. Para belia berpeluang untuk mendalami maksud tema pada bulan tersebut melalui rujukan bersama Buku YouCat, buku Katekismus yang diterbit khas bagi belia Gereja Katolik di seluruh dunia.
“Berdoa, berpuasa dan beramal adalah perkara penting yang kita harus lakukan pada musim prapaska ini.” kata Sdri. Florayanti Fabianus selaku wakil Tim Kerasulan Belia Paroki (KBP) Holy Trinity Tawau ketika memberi sesi inputnya. Terdapat pelbagai topik menarik setiap bulan yang diketengahkan dan dikongsikan bersama demi memperkasa dan memperkayakan lagi pengetahuan serta mendalami iman yang sedia ada. Itulah kebaikan dan keistimewaan program YMG.
“Beramal seperti bergotong-royong bukan sahaja dapat menjadikan iman kita benar, malah ia juga salah satu cara atau doa kita kepada jiwa orang-orang yang telah meninggal dunia yang masih lagi dalam tahap pemurnian di Api Penyucian selain dari mengajukan intensi khusus dalam Misa Kudus.” ujar Sdri. Naomi Francis selaku wakil Tim KBP, Holy Trinity Tawau semasa mengaitkan tema YMG ke-19 dengan topik yang dikongsikannya iaitu Keselamatan Jiwa di Api Penyucian.
Para belia menyahut panggilan menjadi satu komuniti besar dengan erti kata lain, menjadi satu Gereja yang sentiasa bersatu dalam memupuk dan meningkatkan kesedaran serta semangat bersama-sama mencintai alam sekitar melalui sesi gotong-royong di sekitar dan dalam gereja.
Selain dari berdoa dan berpuasa, aktiviti ini juga memberi peluang kepada belia mempersiapkan diri menyambut ketibaan hari Paska dengan hati yang gembira akan misteri kebangkitan Yesus Kristus dengan beramal bakti.
 
Pertemuan santai yang memakan masa selama empat jam setengah ini bermula dari jam 12.30 tengah hari telah dihadiri oleh 60 orang belia termasuk Rev. Fr. David Garaman (Pembantu Rektor Gereja Holy Trinity Tawau) dan Seminarian Christopher Ireneus. Sejurus selepas sesi gotong-royong, para belia menjamu selera bersama di kantin sebagai tanda kesyukuran program YMG dan juga meraikan ulangtahun kelahiran ahli-ahli KBP pada bulan Mac.