Oleh Jessielyn Monton Monasque,Yosteria Lintana

Tawau – Program “Study Day” tentang ekologi telah diadakan pada 16 September 2023 yang bertempat di bangunan Dewan Kateketikal. Sekurang-kurangnya 76 orang telah menyertai program ini yang terdiri daripada ahli-ahli Majlis Pastoral Paroki (MPP), Pelayan Komuni Tak Lazim, kumpulan komuniti, kumpulan pelayanan dan kerasulan paroki serta dari stasi luar paroki Holy Trinity.

Program ini merupakan salah satu program yang dicadangkan dalam rangka kerja Malaysia Pastoral Convention (MPC) di mana kita memberi tumpuan kepada cabaran-cabaran yang mempengaruhi Gereja di Malaysia terutamanya isu-isu Gereja, Keluarga, Sosial dan Ekologi. Sebagai respon untuk memenuhi misi Gereja di Malaysia untuk menjadi Garam dan Terang dunia.

“Study Day” ini diadakan untuk memberi kesedaran tentang realiti ekologi yang berlaku di dunia pada masa kini terutama pencemaran alam dan pemanasan global yang turut dirasai oleh manusia. Hal ini jugalah yang telah memberikan kesan negatif khasnya kepada kehidupan manusia terutama golongan yang lemah dan miskin.

Sesi pertama tentang Realiti Ekologi Dunia dan punca-punca pencemaran alam sekitar memulakan program yang dibentangkan oleh Fr. David Garaman. Kemudian, para peserta dibahagikan kepada 7 kumpulan untuk membincangkan soalan-soalan yang telah disediakan antaranya ialah “Apa sukacita dan berkat yang kita perolehi dari bumi?” dan “Apakah kerisauan dan cabaran dalam menjaga dan menghormati ekologi?” Soalan ini juga merupakan sebuah renungan untuk membolehkan para peserta melakukan perubahan melalui tindakan.

Pembentangan dari kumpulan 2 untuk sesi 1“ Apakah kerisauan dan cabaran dalam menjaga dan menghormati ekologi?”

Dalam pengisian Fr. David, beliau menyentuh tentang hubungan dan tanggungjawab manusia dengan alam semulajadi serta hubungan manusia dengan Tuhan yang seharusnya berjalan bersama untuk menjamin kehidupan yang lebih berkualiti dan baik. “Jika kita terus merosakkan alam sekitar maka kita akan hancur. Ini kerana kita memerlukan sumber-sumber dari alam semulajadi untuk hidup. Sehubungan itu, kita mempunyai kewajiban untuk melindungi bumi untuk generasi masa depan. Tuhan memberikan tanggungjawab kepada manusia untuk menjadi penjaga kepada segala ciptaan-Nya, namun manusia telah gagal dalam misi ini. Dengan memusnahkan alam semulajadi ciptaan Allah kita telah merosakkan kesejahteraan ekologi bumi yang mengakibatkan pencemaran air, tanah dan udara dan menyumbang kepada pemanasan global. Ini adalah dosa manusia”, demikian petikan pengisian Fr. David.

Sesi kedua bertajuk ‘Saya adalah Misi!’ membawa para peserta membincangkan tentang harapan dan aspirasi dalam menghargai dan melindungi ekologi serta bagaimana mencapainya. Dalam sesi ini juga, para peserta membincangkan tindakan-tindakan yang boleh dipraktikkan di dalam misi paroki untuk membantu di dalam memelihara dan melindungi ekologi bumi. Fr. David turut menjelaskan bahawa menjaga dan melindungi semua ciptaan Tuhan adalah tanggungjawab bersama. “Sebagai umat katolik, kita diseru untuk bekerjasama sebagai alat Tuhan untuk menjaga alam sekitar dengan menilai kehidupan kita, mengakui kegagalan, meneliti, merenungi dan bertobat agar tindakan untuk melakukan perubahan boleh dilakukan”.

Di akhir program “Study Day” ini, beberapa cadangan untuk tindakan telah diperolehi. Semua cadangan ini seterusnya akan diperhalusi dan akan dijadikan sebagai satu pelan tindakan oleh paroki Holy Trinity dalam merealisasikan misi memelihara dan melindungi alam semulajadi ciptaan Tuhan.