oleh Patrick Michael dan Petrus Bernadus (FLM)
Tawau – Sebanyak 46 pasangan telah menyertai program Pengayaan dan Pembaharuan Janji Perkahwinan yang telah dianjurkan oleh Tim Pelayanan Keluarga (Family Life Ministry – FLM) Paroki Holy Trinity Tawau pada 28 September 2023 dengan tema “Pengayaan Perkahwinan Ke Arah Gereja Yang Lebih Sinodal”.
Program ini terbahagi kepada 3 sesi dan dimulakan dengan sesi pertama pada jam 8 pagi bertempat di bawah Gereja Holy Trinity yang disampaikan oleh Rektor Paroki Fr. David A Garaman. Dalam perkongsiannya, beliau telah menyentuh 3 aspek iaitu tentang keluarga dan sinodaliti, peranan keluarga katolik dan gereja domestik.
Manakala dalam sesi kedua iaitu Pembaharuan Janji Perkahwinan bermula pada jam 4 petang yang berlangsung di dalam gereja dalam Misa Kudus dan dipimpin oleh Fr. David. Kemudian diikuti dengan lafaz pembaharuan janji perkahwinan oleh setiap pasangan di depan ahli keluarga dan rakan-rakan yang hadir pada hari tersebut.
Aktiviti terakhir iaitu sesi ketiga Agape Night bertempat di Four Season, Fajar Club dengan makan malam bersama para Religius dan ahli keluarga masing-masing. Majlis makan malam itu diserikan dengan sesi bergambar bersama pasangan, persembahan nyanyian oleh beberapa peserta dan 2 permainan untuk menceriakan lagi suasana pada malam itu. Tayangan video juga turut diselitkan semasa makan malam itu dengan tayangan nostalgia gambar perkahwinan dan gambar terbaru setiap pasangan yang terlibat. Pada malam itu juga, 2 hadiah penghargaan iaitu Anugerah Pasangan Paling Muda (8 bulan) diberikan kepada pasangan Antoni Rofinus dan Annabel Alexius dan Anugerah Pasangan Paling Lama (48 tahun) iaitu pasangan Melvin Lajanti dan Linda Bansil. Program diakhiri dengan doa penutup oleh Fr. David.