Oleh SOCCOM Tawau
Tawau: Baru-baru ini, Pertemuan Minggu Gembira (PMG) Gereja Katolik Holy Trinity Tawau telah mengadakan Kem Rohani. Aktiviti ini telah berlangsung selama 3 hari 2 malam iaitu dari 16hb Ogos hingga 18hb Ogos. Seramai 258 orang peserta yang berumur antara 12 hingga 17 tahun telah menyertai kem tersebut. Semua peserta ini merupakan pelajar-pelajar PMG kelas Komuni Pertama, Kelas Pra Penguatan 1, Kelas Pra-Penguatan 2 serta Kelas Penguatan dari sesi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Kem ini diadakan di kawasan gereja Holy Trinity, Tawau.
Objektif utama penganjuran kem ini adalah untuk menyedarkan para peserta bahawa Sabda Allah adalah yang terpenting dalam kehidupan seorang Katolik kerana Allah itu sendiri adalah Firman. Selain itu, para peserta akan belajar untuk meneladani iman Bonda Maria yang hidup dalam kekudusan. Di samping itu, para peserta mampu memperkasa iman Katolik yang semakin pudar dalam era digital masa kini. Pada masa yang sama, para penganjur iaitu para katekis pembimbing PMG berharap agar penganjuran kem ini mampu melahirkan remaja Katolik yang berani bersaksi sekaligus menjadi pengikut Kristus yang sejati pada masa ini.
Pada hari pertama 16hb Ogos, kaunter pendaftaran telah dibuka seawal jam 4.00 petang. Kebanyakan peserta telah ditemani oleh ibu bapa mereka sambil membawa barangan anak mereka. Selepas membuat pendaftaran, para peserta akan mendapat tag nama, buku program dan baju t-shirt rasmi Kem Rohani. Kemudian, para peserta telah dibawa ke tempat penginapan masing-masing. Selepas siap mengemaskan barang mereka di bilik penginapan, mereka berkumpul di kantin gereja pada pukul 6.30 petang untuk makan malam. Para peserta diajar untuk mencuci pinggan dan sudu masing-masing lalu meletakkannya di dalam bekas yang disediakan mengikut bilik mereka. Hal ini mampu melatih para peserta untuk berdikari sambil memupuk sikap tanggungjawab dalam diri sendiri.
Setelah makan malam berakhir, para peserta meneruskan acara pembukaan kem di dalam dewan paroki. Katekis Pembimbing Felsa telah memimpin acara “ice breaking” yang sangat menyeronokkan. Melalui acara ini, para peserta dapat saling mengenali dan berbual dengan mesra sambil menyiapkan tugasan mereka. Kemudian, Tim Doa Kelompok Bahasa Melayu telah mengambil alih program dengan mengadakan acara Malam Puji-Pujian. Pada masa ini, para peserta dibimbing untuk membuat pujian dan menyanyi dengan sepenuh hati dengan pimpinan kuasa Roh Kudus.
Selepas itu, Koordinator Kem Rohani PMG 2024, katekis pembimbing Rolina Kinupal telah menyampaikan pengenalan kem secara ringkas dan diikuti taklimat oleh Ketua Tim Kebersihan,katekis pembimbing Debit Leba. Katekis pembimbing Florian selaku Ketua Tim Kecemasan turut menyampaikan taklimat ringkas sebelum Ketua Tim Keselamatan iaitu Katekis pembimbing Jessica Flores menerangkan segala hal peraturan yang harus dipatuhi oleh setiap peserta sepanjang kem tersebut. Program kem hari pertama telah selesai pada pukul 10.00 malam.
Program kem hari kedua bermula dengan sesi doa pagi yang dipimpin oleh katekis pembimbing Jenny pada pukul 7.00 pagi di dalam dewan paroki. Sebaik sahaja bersarapan, para peserta telah kembali ke dewan untuk memulakan sesi 1 yang dikendalikan oleh paderi paroki, Rev. Fr. David Garaman. Sesi yang bertajuk “Firman, Doa dan Iman” benar-benar telah memberi input yang jelas tentang kepentingan berdoa dan beriman kepada Tuhan Yesus sebagai seorang katolik. Semoga segala perkongsian iman daripada Fr. David ini akan memberi bekalan iman yang teguh kepada para peserta.
Program diteruskan dengan penyampaian taklimat ringkas tentang acara stasi luar daripada katekis pembimbing Naomi Francis.
Dalam sesi jangkauan stasi luar, para peserta telah dibahagikan kepada 3 kumpulan stasi luar. Acara yang julung-julung diadakan ini merupakan sahutan seruan PKS-2 yang menyeru para katekis pembimbing paroki untuk menjangkau umat dari stasi luar dalam penyampaian katekesis. Pelajar-pelajar kelas Komuni telah melawat Chapel St Nicholas, Sin Onn, para pelajar kelas pra-Penguatan 1 dan 2 telah melawat Chapel St. Stephen, Tass manakala para pelajar kelas Penguatan telah melawat Chapel St, Paul, Balung.
Sebanyak 4 buah bas ekspres, 2 buah van gereja serta 20 buah kenderaan persendirian telah digunakan untuk membawa para peserta ke destinasi masing-masing. Penglibatan ibu bapa yang bermurah hati untuk membekalkan 20 buah pengangkutan persendirian ke stasi luar jelas membuktikan semangat sinodaliti yang diamalkan oleh ibu bapa dalam penganjuran kem pada kali ini.
Setibanya di destinasi, para peserta dipimpin dengan doa pembukaan dan lagu pujian. Selepas itu, katekis pembimbing telah menyampaikan perkongsian tentang sesi “Mengenali Bonda Maria sebagai Ibu dalam Kehidupan Kita”. Sesi ini telah memberikan iman kepada para peserta untuk terus mencintai Bonda Maria dan meneladani iman Bonda Maria sebagai pengikut yang setia kepada putera-Nya Yesus Kristus. Sebaik sahaja sesi ceramah selesai, para peserta diajar untuk membuat seutas rantai Rosari. Mereka membuat rantai Rosari tersebut dengan teliti sehingga berjaya menghasilkan seutas rantai Rosari yang cantik. Selepas makan tengah hari dan rehat, program diteruskan dengan sesi “Speak up”. Para peserta masuk ke dalam kumpulan kecil lalu membuat perkongsian antara sesama berdasarkan soalan-soalan panduan yang diberikan oleh fasilitator kumpulan. Sebelum program berakhir pada petang itu, para peserta telah berdoa Rosari bersama-sama. Tepat pada pukul 3.30 petang, para peserta pun bertolak pulang ke gereja. Ringkasnya,program stasi luar yang diadakan ini benar-benar memberikan pengalaman yang baharu kepada setiap peserta untuk mengenali setiap chapel dari stasi luar yang belum pernah dilihat oleh mereka. Pengalaman ini akan menjadi suatu kenangan yang terindah dalam kehidupan mereka apatah lagi setiap peserta berjaya menghasilkan seutas rantai Rosari yang menjadi milik mereka sendiri.
Selepas makan malam, para peserta berkumpul di dalam dewan untuk mendengar sesi daripada EMC Victor manakala semua ibu bapa peserta pula berkumpul di dalam dewan katekatikal untuk mendengar perkongsian daripada Puan Salva berhubung peranan dan tanggungjawab ibu bapa kepada anak-anak. Pada pukul 9.00 malam, Tim Doa Kelompok Bahasa Melayu memimpin sesi Rekonsiliasi melalui acara pembasuhan kaki di dalam dewan gereja. Begitu besar kasih dan belas kasihan Tuhan yang menyentuh setiap keluarga yang melakukan pembasuhan kaki tersebut. Tangisan daripada anak-anak remaja dan ibu bapa membawa pengampunan dan perdamaian dalam kalangan ahli keluarga. Selepas anak-anak membasuh kaki ibu bapa mereka, setiap keluarga akan berdoa bersama di bawah Salib Yesus yang menjadi lambang kemenangan dan kasih-Nya yang luar biasa sekali. Sesi tersebut tamat pada pukul 10.30 malam dan diakhiri dengan doa penutup yang disampaikan oleh Sr. Mary How, FSIC.
Pada hari terakhir kem, sesi dimulakan dengan doa pagi yang dipimpin oleh Tim Liturgi. Selepas bersarapan, para peserta kembali ke dewan pada pukul 8.30 pagi untuk mendengar sesi ceramah yang disampaikan oleh Sr. Mary How, FSIC. Beliau telah mengongsikan cerita dan pengalaman hidup Beato Carlo Acutis yang merupakan seorang pemuda berbangsa Itali yang berusia 15 tahun. Beliau dikenali sebagai Santo Pelindung Internet kerana beliau menggunakan saluran komunikasi yang baharu untuk menyampaikan Injil. Sepanjang hidupnya,beliau telah mengumpulkan mukjizat-mukjizat Ekaristi dari seluruh dunia dan mempromosikannya ke dalam sebuah laman sesawang sebelum beliau meninggal dunia pada tahun 2006 akibat penyakit leukemia. Pada 10hb Oktober 2020, Upacara Beatifikasinya telah dirayakan oleh Kardinal Agostino Vallini di Basilika Santo Fransiskus,di Assisi, Itali sebagai Beato pertama daripada generasi milenial. Melalui sesi ini, para peserta mendapat suatu inspirasi untuk memanfaatkan media sosial sebagai wahana penginjilan moden kepada semua golongan muda yang lain seperti yang dilakukan oleh Beato Carlo Acutis.
Sesi perkongsian tersebut selesai pada pukul 9.30 pagi dan semua peserta telah menghadiri perayaan Ekaristi dalam misa kudus pada pukul 10.00 pagi. Dalam misa tersebut, Fr. Nicholas Ong menzahirkan perasaan gembira atas penganjuran kem rohani ini serta bersyukur atas penglibatan yang ramai daripada pelajar-pelajar PMG yang akan mempersiapkan diri mereka untuk menerima Sakramen gereja. Selepas misa kudus tamat, para peserta kembali ke dewan untuk sesi bergambar di hadapan tangga dewan paroki. Kemudian, para peserta turun ke kantin gereja untuk menikmati makanan tengah hari yang disediakan oleh Tim dapur dan penyediaan makanan yang diketuai oleh katekis Pembimbing Juliana Joseph. Tim ini turut dianggotai oleh 10 orang sukarelawan ibu- ibu pelajar PMG yang amat bermurah hati untuk berkorban masa dan tenaga mereka selama 3 hari dan 2 malam untuk menyediakan makanan dan minuman kepada semua peserta kem.
Selepas makan tengah hari, para peserta naik ke atas dewan untuk meneruskan sesi yang terakhir pada pukul 1.00 petang. Sesi 4 yang bertajuk “Dunia Hari Ini” ini disampaikan oleh katekis pembimbing Antoine. Para peserta begitu teruja ketika mengetahui kesan muzik dan lagu-lagu Barat yang dicemari oleh pengaruh Iblis dan kuasa kegelapan. Oleh itu, melalui sesi ceramah perkongsian ini, diharapkan para peserta tidak akan lagi memuja secara berlebihan artis-artis kegemaran mereka yang jelas memberikan pengaruh yang negatif baik secara pertuturan dan perlakuan. Hal ini nescaya dapat menjejaskan perkembangan minda dan pertumbuhan iman golongan muda Katolik.
Seterusnya,pada pukul 2.00 petang, setiap peserta dikehendaki untuk mengisi borang penilaian maklum balas terhadap segala sesi yang berlangsung sepanjang kem tersebut. Dengan adanya penilaian kem daripada setiap peserta, maka segala kekurangan dan kelemahan yang tercatat akan dijadikan panduan oleh tim penganjur untuk penambahbaikan penganjuran kem rohani pada tahun hadapan. Sebagai penutupan kem rohani, para peserta menonton video ringkas tentang aktiviti-aktiviti yang berlaku sepanjang kem rohani tersebut yang disediakan oleh katekis pembimbing Ernestina sebelum doa penutup. Akhir sekali, para peserta bergotong-royong untuk mengemaskan bilik penginapan mereka. Tepat pada pukul 3.30 petang, ibu bapa telah tiba di gereja untuk menjemput anak mereka.
Sesungguhnya, semangat sinodaliti yang ditonjolkan oleh tim sukarelawan iaitu golongan ibu bapa amat membantu untuk meringankan beban para katekis pembimbing PMG dalam penganjuran kem rohani ini. Semoga kerjasama yang berterusan akan menjamin kecemerlangan iman anak-anak untuk menjadi generasi yang berakar dan bertumbuh dalam Yesus Kristus. Tim penganjur turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada ketiga-tiga paderi paroki, Sr Mary How, FSIC, Komiti Katekatikal, Majlis Pastoral Paroki, ibu bapa pelajar PMG dan SOCCOM yang memberikan kerjasama dan sokongan yang berterusan sepanjang kem berlangsung serta semua umat yang memberi sumbangan kasih untuk menjayakan penganjuran Kem Rohani PMG 2024.